Followers

Monday, 28 March 2011

Jom fikir dan zikir: Terfikir Nak Berniaga?

Jom fikir dan zikir:

Artikel ini saya tulis khusus untuk anda yang menganggap diri anda ‘newbie’ ataupun baru menceburi dalam bidang perniagaan. Statistik menunjukkan bahawa dalam 100 orang yang memulakan perniagaan (tidak kira perniagaan internet, MLM, konvensional dan sebagainya), hanya 10 orang sahaja yang berjaya dalam perniagaan mereka. Saya pasti perkara ini akan membuatkan anda berasa ragu-ragu untuk memulakan perniagaan.
Izinkan saya berkongsi sebab-sebab yang mendorong mereka pada kegagalan dalam perniagaan. Semoga perkongsian ini dapat dimanfaatkan oleh anda dan saya memberikan kebenaran untuk anda meletakkan artikel ini di blog anda dengan syarat tidak mengubah apa-apa isi kandungan.

1. Menganggap Perniagaan Adalah Sesuatu Yang Mudah

Membuat keputusan untuk memulakan perniagaan adalah mudah. Dengan berkata “Baiklah, aku ingin memulakan perniagaan internet mulai hari ini”, maka anda telah memulakan langkah untuk menerokai dunia perniagaan.
Namun, ia bukanlah semudah yang disangka. Cuba anda tanya pada usahawan-usahawan yang telah berjaya dalam perniagaan mereka. Saya pasti ramai yang bersetuju bahawa setiap perniagaan memerlukan masa dan usaha yang berterusan sebelum anda mencapai kejayaan dalam perniagaan yang diceburi.
Oleh itu, tukar mindset anda mulai hari ini. Jangan anggap perniagaan ini adalah sesuatu yang boleh menjanjikan kekayaan sekelip mata kerana semuanya tetap memerlukan usaha.

2. Sanggup Melaburkan Wang, Masa & Tenaga

Pernah terjadi apabila saya diajukan soalan bagaimana untuk memulakan perniagaan, saya menyuruh mereka untuk melaburkan sedikit wang untuk membeli buku-buku ilmiah yang berkaitan dengan perniagaan. Apa yang peliknya, mereka terus mengeluh dan tanya kembali kepada saya, “Takde ke bisnes yang senang-senang sikit? Malaslah nak beli buku-buku ni.”
Saya tergamam mendengar soalan tersebut dan terus saya katakan bahawa mungkin mereka tidak sesuai memulakan perniagaan lagi. Ingatlah rakan-rakan, kita perlu mempunyai kesanggupan untuk melaburkan wang, masa & tenaga sebelum, ketika dan selepas memulakan perniagaan. Saya sendiri telah melaburkan wang sehingga mencecah ribuan ringgit untuk mendalami ilmu-ilmu perniagaan.

3. Bina Network (Jaringan Kenalan)

Perkara ini juga sering diabaikan oleh para usahawan dimana mereka tidak membina jaringan kenalan dalam perniagaan yang diceburi. Pembinaan jaringan kenalan amatlah penting bagi meningkatkan penjualan produk / servis anda dan juga membina hubungan antara usahawan.
Bayangkan jika si A tidak mempunyai produk yang diinginkan oleh pelanggan, si A boleh menghubungi si B yang mempunyai produk tersebut. Tidakkah perkara tersebut menguntungkan kedua-dua belah pihak? Apa yang penting, jagalah hubungan antara satu sama lain. Elakkan daripada timbul rasa hasad dengki. Ingatlah, rezeki kita semua berbeza-beza.

4. Baru Usaha 1%

Ini juga merupakan faktor kritikal mengapa kebanyakkan usahawan gagal sewaktu memulakan perniagaan mereka. Ambil contoh ini, si A telah menetapkan untuk memulakan perniagaan burger dan telah menyediakan bahan-bahan yang diperlukan untuk memulakan perniagaan.
Akhirnya gerai burger si A berjaya dibina dan kini si A menunggu pelanggan untuk datang membeli burger tersebut. Malangnya, tiada siapa pun yang membeli burgernya pada hari tersebut. Begitu juga pada hari-hari seterusnya. Akhirnya si A membuat keputusan untuk mengalah dan menanggung kerugian yang besar.
Apakah pengajaran yang anda dapat daripada cerita pendek di atas? Si A hanya memulakan perniagaan selama beberapa hari sahaja. Namun kerana tiada pelanggan yang datang untuk membeli, si A membuat keputusan untuk berhenti berniaga.
Dalam perniagaan, rugi adalah perkara yang biasa. Tetapi strategi yang berbeza menentukan kejayaan dalam sesebuah perniagaan. Mungkin si A boleh membuat sebuah banner yang mempunyai tarikan untuk menarik perhatian mereka yang lalu lalang di kawasan itu dan sebaliknya. Dengan kata lain, be creative. ;)

5. Tidak Menetapkan Matlamat Dalam Perniagaan

Kita semua sedia tahu dalam hidup perlu ada matlamat. Begitu juga dalam perniagaan dimana anda perlu mempunyai matlamat yang jelas sebelum anda memulakan perniagaan. Apakah sebab anda ingin berniaga? Jika anda tidak bertindak hari ini, apa yang akan berlaku pada anda sekeluarga? Dapatkan sebab-sebab yang kukuh untuk mengelakkan anda kecundang dalam perniagaan.
Semoga perkongsian ini dapat dimanfaatkan oleh anda. Pastikan anda tinggalkan komen yang bernas tentang artikel ini dan saya amat berbesar hati jika anda dapat berkongsi pengalaman perniagaan anda melalui ruangan komen yang disediakan.

sumber

No comments:

Post a Comment