Followers

Showing posts with label 1 Hari 1 Hadis. Show all posts
Showing posts with label 1 Hari 1 Hadis. Show all posts

Saturday, 16 April 2011

Kaedah Memahami Riba


Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1123.

Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: "Bilal datang kepada Nabi saw. membawa kurma Barni. Nabi saw. bertanya: "Dari mana ini?" Jawab Bilal, "Aku mempunyai kurma yang kurang bagus. Lalu ku jual dua gantang dengan segantang untuk dimakan Rasulullah saw." Sabda Nabi saw., "Wah, wah! Itulah riba! Itulah riba! Janganlah engkau lakukan lagi. Tetapi apabila engkau hendak membeli kurma yang bagus, juallah kurma yang kurang bagus secara jual beli, kemudian belilah kurma Barni."
sumber

apa yang efzack.owner faham:

Nabi saw melarang Bilal ra menjual dua gantang kurmanya yang kurang bagus dengan mendapat 1 gantang kurma yang bagus (seperti sistem barter). Nabi saw menganjurkan Bilal ra menjual dahulu dua gantang kurma yang bagus itu, mendapat duit atau nilai darinya, kemudian baru menggunakn duit itu untuk membeli kurma yang bagus tersebut.

Friday, 15 April 2011

Perniaagaan dan Kerja yang dilarang


Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1027.

Dan 'Aun bin Abu Juhaifah r.a., katanya: "Saya melihat bapa saya membeli seorang hamba sahaya yang pandai membekam, lalu saya bertanya kepada bapa. Jawab beliau, "Nabi saw. hanya melarang jual-beli anjing dan jual-beli darah kemudian beliau melarang pula mencacah dan dicacah, memakan riba dan memberi orang supaya memakannya, dan beliau mengutuk orang yang membuat patung."
sumber

Thursday, 14 April 2011

Peranan KPDNKK terhadap Pengguna dan Pembeli


Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1079.

Dari Zaid bin Tsabit r.a., katanya: "Biasanya pada masa Rasulullah saw. orang banyak berjual beli buah-buahan, setelah tiba waktu memetik dan bayar membayar, si pembeli mengatakan: buah ini busuk, kena penyakit, layu dan macam-macam kerosakan yang mereka jadikan alasan. Ketika mereka bertengkar sudah demikian rupa, Nabi saw. bersabda: "Jika begitu, janganlah Tuan-tuan berjual beli sehingga telah nyata benar buah itu baik" Selaku orang yang suka bermesyuarat (demokrasi), beliau memimpinkan, hal itu kerana banyaknya terjadi pertikaian antara sesama mereka."
sumber

Wednesday, 13 April 2011

Jurujual dan Pembeli yang Adil


Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1513.

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Nabi s.a.w. bersabda: "Seorang laki-laki membeli sebidang tanah dan menemukan sebuah tempayan yang berisi emas dalam tanah itu. Katanya kepada si penjual: "Ambillah emasmu, kerana hanya tanah yang saya beli dari engkau dan saya tiada membeli emas". Kata yang punya tanah: "Tanah itu serta isinya telah saya jual kepada engkau". Keduanya lalu meminta putusan kepada seseorang. Kata orang itu: Adakah kamu berdua mempunyai anak? Seorang di antara mereka berkata: "Ya, saya mempunyai anak laki-laki". Kata yang seorang lagi: "Ya, saya mempunyai anak perempuan". Kata hakim tadi: "Kahwinkanlah anak perempuan itu dengan anak laki-laki ini dan belanjailah keduanya dari harta itu dan bersedekahlah.".
sumber

Tuesday, 12 April 2011

Peringatan Buat Penjual


Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1083.

Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Rasulullah saw. melarang jual beli Muzabanah. Yakni, menjual buah-buahan dalam kebun. Jikalau dalam kebun itu ada pohon kurma, ia menjualnya dengan kurma kering gantangan; jikalau dalam kebun itu ada anggur, maka dijualnya anggur kering gantangan, atau pun tanam-tanaman (lain), dijualnya dengan gantangan. Beliau melarang kesemuanya itu."
sumber

Monday, 11 April 2011

Dilarang pengguna menipu dan juga dilarang penjual menipu semasa urusan jual beli


Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1023.

Dari Hakim bin Hizam r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Dua orang yang berjual beli boleh khiyar (memilih) selama keduanya belum berpisah, atau sehingga keduanya berpisah. Jika keduanya berlaku benar, baik dalam tindakan dan ucapan atau keterangan, maka jual beli keduanya diberkati (Allah). Dan jika kedua . . bersikap menyembunyikan dan dusta, keberkatan jual beli keduanya dihapus (sirna). "
sumber

Sunday, 10 April 2011

Hak Pengguna semasa Jual dan Beli


Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1040.

Dari Ibnu Umar r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Dua orang yang jual beli boleh khiyar selama keduanya belum berpisah, atau salah satu di antara keduanya mengatakan kepada yang lain, "pilihlah!" Dan boleh jadi juga beliau mengatakan, "Atau jual beli itu dengan khiyar." Kata Nafi' "Pernah Ibnu Umar apabila membeli sesuatu yang disenanginya, dia segera berpisah dengan penjualnya."

sumber

Friday, 8 April 2011

Kaedah urusan jual beli


Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1047.


Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Pada masa Rasulullah saw., orang banyak membeli makanan dari rombongan orang-orang berkenderaan. Nabi saw. mengirim utusan kepada mereka supaya melarang mereka menjual makanan di tempat mereka beli, sehingga mereka dipindahkan ke tempat menjual makanan. Kata Ibnu Umar, "Nabi saw. melarang menjual makanan yang dibeli, sebelum selesai (timbang terima) jual beli itu."
sumber

Thursday, 7 April 2011

Jual Beli


Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1041.

Dari Ibnu Umar r.a., dari Rasulullah saw., bahawasanya beliau bersabda: "Apabila dua orang telah melakukan jual beli, maka tiap-tiap orang dari keduanya boleh khiyar selama mereka belum berpisah, dan keduanya masih berkumpul, atau salah satu dari keduanya telah memberi khiyar kepada yang lain, dan keduanya telah melakukan jual beli atas dasar khiyar itu, maka sesungguhnya jual beli itu haruslah dilakukan atas yang demikian. Jika keduanya telah berpisah sesudah melakukan jual beli, sedang yang satu lagi , belum meninggalkan (tempat) jual beli, maka jual beli itu harus berlaku demikian."
sumber

Tuesday, 5 April 2011

Jom fikir dan zikir: MasyaAllah, pintu pahala sangat banyak dengan solat berjemaah





Jom fikir dan zikir:

 Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0368.
Abu Hurairah r.a. memberitakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "solat seseorang dengan berjemaah, pahalanya berlipat ganda daripada solatnya seorang diri di rumahnya atau di pasar, dua puluh lima kali ganda. Sebabnya ialah, kerana apabila seseorang berwuduk, kemudian disempurnakannya wuduknya itu, lalu dia pergi ke masjid dengan niat hanya untuk menunaikan solat, maka tidak satu langkah pun langkah yang dilangkahkannya, melainkan ditinggikan Allah darjatnya satu tingkat untuk setiap langkah, dan dihapuskan pula kesalahannya. Apabila dia telah solat, maka malaikat sentiasa mendoakannya selama dia masih berada di tempatnya solat, katanya: "Wahai, Allah! Limpahkan kepadanya kebaikan dan kasihilah dia!" Dan seseorang kamu sentiasa dianggap seperti dalam solat selama dia menunggu-nunggu waktu solat."
sumber

Monday, 4 April 2011

Jom fikir dan zikir: Dengan niat, begitu banyak pintu pahala terbuka


Jom fikir dan zikir:

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1150.


Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah saw. bersabda: "Kuda dapat menjadi sumber pahala, menjadi alat untuk memenuhi keperluan, atau menjadi sebab dosa. Ia menjadi sumber pahala, kalau ia dipelihara untuk agama Allah, digembalakan di padang rumput atau di perkebunan. Seberapa sampai oleh kuda itu menurut panjang talinya di padang rumput atau di kebun itu, itu menjadi pahala bagi yang punya. Kalau kuda itu putus talinya, lalu naik ke tempat yang tinggi, jejaknya dan tahinya menjadi sumber pahala bagi yang punya. Seandainya kuda itu melalui sebuah sungai, dan ia minum di sana, sedangkan yang punya tidak berniat memberinya minum, maka yang demikian itu menjadi sumber pahala baginya. Kerana itu, kudanya menjadi sumber pahala baginya. Orang memelihara kuda untuk memenuhi keperluan hidupnya, agar ia jangan menjadi pengemis, dan tidak melupakan hak Tuhan pada waktu membebani kuda itu. Kerana kuda itu menjadi alat bagi pemenuhan keperluannya. Dan orang yang memelihara kuda kerana bongkak, sombong, dan membanggakan diri terhadap orang lain, maka kuda itu menjadi sebab dosa baginya." Orang bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang keldai. Beliau menjawab ''Tidak ada hal khusus yang diturunkan kepada ku mengenai keldai, tetapi sebuah ayat pendek lengkap telah diturunkan kepada ku, yaitu: "Siapa yang berbuat kebaikan sebesar atom pun, akan dilihatnya: siapa yang berbuat kejahatan sebesar atom pun akan dilihatnya." (Surat Al Zilzal. 7- 8)
sumber

Sunday, 3 April 2011

Jom fikir dan zikir: Perihal Ibadah Umrah dan Haji


Jom fikir dan zikir:

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0865.


Dati Ibnu Umar r.a., katanya:"Rasulullah saw. menggabungkan niat 'Umrah dan Haji ketika beliau melakukan Haji Wada', dan beliau membawa korban dengan had-ya yang dibawanya dari Zulhulaifah. Mula-mula beliau ihram untuk Umrah dan setelah itu ihram untuk Haji. Orang banyak pun turut pula mengabungkannya, sama seperti Rasulullah melakukan Umrah dan Haji. Di antara mereka ada yang membawa had-ya dan ada pula yang tidak membawanya. Setibanya di Mekah. beliau bersabda kepada orang banyak, "Barangsiapa di antara kamu yang menyediakan had-ya, belum boleh ia halal, sebelum ia selesai mengerjakan Haji. Siapa yang tidak menyediakan had-ya, hendaklah ia tawaf di Kaabah dan saei antara Safa dan Marwah, terus menggunting rambut, lalu halal, dan setelah itu ihram untuk Haji. Siapa yang tidak menyanggupi had-ya, puasalah tiga hari waktu dan tujuh hari setelah kembali kepada keluarganya. Ketika beliau tiba di Mekah, beliau melakukan tawaf (qudum). Lebih dahulu beliau menyentuh sudut, kemudian berlari tiga keliling dan berjalan empat keliling. Setelah selesai tawaf keliling Kaabah, lalu beliau solat di belakang Maqam. Setelah memberi salam beliau terus menuju Safa. lalu saei tujuh kali antara Safa dan Marwah. Beliau belum halal sebelum selesai mengerjakan Haji dan menyembelih korban pada hari Nahar dan tawaf ifadhah keliling Kaabah. Setelah semuanya itu selesai, barulah beliau halal dari semua yang tadinya haram. Maka dikerjakan lah seperti yang dilakukan Rasulullah itu, oleh siapa yang sanggup membayar had-ya, telah menyiapkan dan menghalaunya di antara orang banyak."
sumber

Saturday, 2 April 2011

Jom fikir dan zikir: Doa malaikat terhadap orang yang solat berjemaah di masjid


Jom fikir dan zikir:

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0284.


Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "solat berjemaah lebih banyak nilainya dua puluh lima kali daripada solat di rumah atau di pasar (tempat usaha) Sesungguhnya apabila kamu berwuduk dengan sempurna, kemudian dia datang ke masjid dengan niat semata hendak solat, maka setiap dia melangkah walau selangkah, Allah menaikkannya satu darjat, dan menghapus kesalahannya, sehingga ia masuk ke masjid. Apabila ia telah masuk masjid, maka selama ia mengerjakan solat, bahkan selama ia masih berada di tempat duduknya di masjid itu, malaikat sentiasa mendoakan baginya selama ia belum berhadas, "Wahai Allah! Ampunilah dia dan kasihilah dia!"
sumber

Friday, 1 April 2011

Jom fikir dan zikir: Sifat Baginda SAW terhadap orang munafik


Jom fikir dan zikir:

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0250.


Mahmud bin Rabi' Al Anshari r.a. menceritakan, "Bahawa 'Itban bin Malik adalah salah seorang sahabat Rasulullah saw. dari golongan Ansar yang ikut berperang dalam peperangan Badar. Dia datang kepada Rasulullah saw. dan berkata, "Ya, Rasulullah! Penglihatanku sudah lemah. Sedangkan aku solat menjadi imam bagi kaum ku. Apabila hari hujan, maka air mengalir di lembah yang terbentang antara rumahku dan mereka, sehingga aku tak dapat datang ke mesjid untuk solat bersama-sama dengan mereka. Aku ingin, ya, Rasulullah, supaya anda datang ke rumahku, kemudian anda solat di sana dan jadikanlah rumahku itu jadi mushalla. Jawab Rasulullah, "Insya Allah. aku akan datang."Kata 'Itban, "Pada suatu pagi Rasulullah datang bersama-sama dengan Abu Bakar. Ketika itu hari telah agak siang. Rasulullah minta izin hendak masuk ke rumahku, dan aku mempersilakan beliau masuk. Ketika beliau telah berada di rumahku beliau tidak duduk. Beliau bertanya, "Di sebelah mana engkau suka aku solat di rumah mu ini?" Kata 'Itban, "Aku hanya menunjuk ke suatu sudut dalam rumahku." Maka berdirilah Rasulullah saw. di tempat itu, lalu beliau takbir. Kami pun berdiri dan membuat saf di belakang beliau. Beliau solat dua rakaat kemudian memberi salam. Setelah itu kami minta beliau tinggal sebentar untuk menikmati makanan yang telah kami sediakan untuk beliau. Maka datanglah para tetangga berkumpul ke rumah itu. Di antara mereka ada yang bertanya, "Mana Malik ibnu Dukhaisyin atau Ibnu Dukhsyun?" Kata yang lain, "Si munafik itu? Dia tidak mencintai Allah dan Rasul-Nya." Sabda Rasulullah, "Janganlah berkata begitu! Bukankah anda tahu, bahawa dia telah mengucapkan La illaha Illallah, kerana menginginkan keredhaan Allah?" Jawab orang itu, "Allah dan RasulNya lah yang lebih tahu." Dan katanya pula, "Kami telah menyaksikan bagaimana pandangan dan kejujuran Nabi menghadapi orang - orang munafik. " Bersabda Rasulullah saw. : "Sesungguhnya Allah mengharamkan masuk neraka orang-orang yang mengucapkan "La Illaahaillallah" dengan niat semata-mata kerana ingin keredaan Allah."
sumber

Thursday, 31 March 2011

Jom fikir dan zikir: Kasih Baginda SAW terhadap Aisyah RA


Jom fikir dan zikir:

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1212.


Dari 'Aisyah r.a.: Isteri Rasulullah saw. dua golongan. Satu golongan termasuk di dalamnya Aisyah, Hafsah, Safiah dan Saudah,sedang golongan lain Ummu Salamah dan isteri-isteri Rasulullah saw. lainnya. Sesungguhnya orang-orang Islam mengetahui akan kasih Rasulullah saw. kepada Aisyah. Apabila salah seorang mereka hendak memberikan hadiah kepada Rasulullah saw. maka dilambatkannya memberikan hadiah itu, sampai Rasulullah saw. berada di rumah Aisyah: maka datanglah yang punya hadiah tadi kepada Rasulullah saw. di rumah Aisyah. Golongan Ummu Salamah memperkatakan hal itu. Kata mereka pada Ummu Salamah: "Katakanlah kepada Rasulullah s.a.w: supaya dinyatakannya kepada orang banyak bahawa barangsiapa yang berniat memberikan hadiah kepada Rasulullah s.a.w. hendaklah diberikannya kepada beliau di rumah mana saja beliau berada di antara rumah isteri-isteri beliau". Ummu Salamah lalu menyampaikan kepada Nabi apa yang mereka katakan itu. Nabi tiada menjawab sepatah kata pun, Kemudian kami bertanya pada Ummu Salamah. Jawabnya: "Beliau tiada menjawab sepatah kata pun". Kata mereka: "Katakan sekali lagi pada beliau!" Kata Ummu Salamah: Lalu saya katakan kepada Nabi ketika dia mempunyai giliran di rumahku. Beliau tiada menjawab sepatah kata pun. Mereka bertanya lagi: Jawab Ummu Salamah: "Tiada beliau jawab sepatah kata pun". Kata mereka: "Katakanlah pada beliau sampai beliau menjawab!" Setelah beliau mempunyai giliran kepadanya, lalu dikatakan sekali lagi oleh Ummu Salamah. Sabda beliau: "Janganlah saya disakiti berkenaan dengan 'Aisyah. Sesungguhnya wahyu hanya datang kepada saya, ketika saya dalam selimut seorang perempuan, ketika saya di rumah Aisyah". Kata Ummu Salamah: "Saya taubat kepada Allah lantaran menyakiti tuan, ya Rasulullah!" Kemudian mereka memanggil Fatimah puteri Rasulullah s.a.w. Mereka menyuruhnya menghadap Rasulullah s.a.w. untuk mengatakan: "Sesungguhnya isteri-isteri ayah, kerana Allah, memohon keadilan kepada ayah mengenai puteri Abu Bakar". Fatimah lalu mengatakan itu kepada Nabi. Beliau bersabda: "Hai anakku! Apakah engkau tidak kasih kepada yang saya kasihi?" Jawab Fatimah: "Ya, memang begitu!" Dan ia pun kembali kepada mereka, lalu dikhabarkannya hal yang demikian. Kata mereka: "Kembalilah menghadap beliau!" Ia tiada mahu kembali. Mereka menyuruh Zainab binti Jahsy, lalu ia datang menghadap Nabi. Dengan cara kasar ia berkata: "Sesungguhnya isteri-isteri tuan, kerana Allah, memohon keadilan tentang puteri anak Abu Quhafah". Ia mengeraskan suaranya sehingga kedengaran oleh Aisyah yang sedang duduk sampai ia memakinya, sehingga Rasulullah s.a.w. memandang kepada Aisyah, adakah ia menjawab. Kata yang meriwayatkan hadis: Aisyah lalu menjawab terhadap Zainab, sehingga terdiam. Kata Aisyah: Nabi s.a.w. memandang kepada saya (Aisyah) dan beliau berkata: "Sesungguhnya ia puteri Abu Bakar!"
sumber

Wednesday, 30 March 2011

Jom fikir dan zikir: Niat penentu hari kebangkitan kita


Jom fikir dan zikir:

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1044.


Dari 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Satu pasukan tentera menyerang Kaabah. Ketika mereka berada di tanah lapang, mereka ditenggelamkan ke bumi dari yang dahulu sampai mereka yang penghabisan," Saya bertanya, "Ya, Rasulullah! Mengapa mereka ditenggelamkan dari yang dahulu sampai penghabisan? Padahal di dalam mereka ada orang-orang pasar (rakyat banyak) dan orang-orang yang bukan dari golongan mereka." Sabda beliau, "Ditenggelamkan mereka dari yang dahulu sampai yang penghabisan, kemudian mereka dibangkit sesuai dengan niat mereka masing-masing."
sumber

Tuesday, 29 March 2011

Jom fikir dan zikir: Keajaiban dan kehebatan disebalik niat


Jom fikir dan zikir:

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1745.


Dari lbnu 'Abbas r.a., dari Nabi saw. yang diriwayatkannya dari Tuhannya, beliau bersabda: Tuhan berkata: Sesungguhnya Allah menuliskan semua kejahatan dan kebaikan, kemudian dijelaskannya: Siapa yang berniat melakukan satu kebaikan dan tidak dilaksanakannya, maka Tuhan menuliskan di sisi-Nya untuk orang itu satu kebaikan yang sempurna. Kalau orang itu berniat melakukan suatu kebaikan dan hal itu dilaksanakannya, maka Tuhan menuliskan di sisiNya untuk orang itu sepuluh kebaikan sampai tujuh ratus kali lipat, sampai berlipat ganda. Siapa yang berniat melakukan suatu kejahatan, tetapi tidak dilaksanakannya, maka Tuhan menuliskan di sisiNya untuk orang itu satu kebaikan yang sempurna. Tetapi kalau ia berniat melakukan kejahatan dan dilaksanakannya, maka Tuhan menuliskan di sisiNya untuk orang itu, satu kejahatan."
sumber

Monday, 28 March 2011

Jom fikir dan zikir: Kepentingan niat didalam setiap amal dan perbuatan


Jom fikir dan zikir.

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0001.


Dari Umar bin Khathab r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Tiap-tiap amal harus disertai dengan niat. Balasan bagi setiap amal manusia, ialah pahala bagi apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa (niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehnya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka (pahala) hijrahnya sesuai dengan niatnya untuk apa dia hijrah".